fb fb fb fb fb

Keputusan keluar UMNO jelaskan karakter Tengku Zafrul - Mohamed Khaled

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia di Kem Sungai Buloh, hari ini.

SUNGAI BULOH, 3 Jun - Keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar daripada UMNO dan berhasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah keputusan peribadi sekali gus menjelaskan karakter yang dimiliki.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu perlu dihormati dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti.

“Itu keputusan beliau. Tapi satu-satu tindakan sesiapa pun, itu menunjukkan karakternya.

“Apa pun, kerajaan yang ada hari ini adalah hasil gabungan parti-parti yang setuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan yang sewajarnya perlu ada hormat menghormati antara parti-parti yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia di Kem Sungai Buloh, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti.

Keputusan itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada pimpinan serta akar umbi parti.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan, belum ada sebarang perbincangan dibuat Umno dan PKR setakat ini berhubung keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul.

Mengenai tuntutan UMNO terhadap jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang dianggap kuota Barisan Nasional (BN), beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan secara dalaman.

"Itu kita runding di peringkat parti, kita tidak payah runding melalui media," katanya.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN