fb fb fb fb fb

Setiap negeri digalak anjur Pertandingan Pidato Rukun Negara

FOTO BERNAMA

AYER KEROH, 12 September - Semua negeri digalakkan menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara, bagi meniup semangat perpaduan dan nasionalisme dalam diri setiap masyarakat di negara ini khususnya generasi muda.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Sarawathy Kandasami berkata, misalnya penganjuran Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2024, ia mendapat sambutan mengalakkan dan kebanyakan daripada peserta dilihat menonjolkan semangat kenegaraan yang jitu.

"Sebab ini adalah satu-satunya pentas untuk generasi muda khusunya sekolah rendah dan sekolah menengah untuk mereka menghayati Rukun Negara dan selepas persekolahan mereka boleh mengamalkan prinsip Rukun Negara yang telah mereka hayati itu.

"Dan memberi peluang kepada generasi muda memahami latar belakang Rukun Negara akan memberi pengetahuan kepada mereka betapa pentingnya menyusun cara hidup mereka berteraskan kepada prinsip Rukun Negara," kata Sarawathy.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2024, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Pertandingan pidato itu terbahagi kepada kategori Sekolah Rendah (Bergandingan), Sekolah Menengah (Bergandingan), Institut Pengajian Tinggi, Awam dan Bukan Melayu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.

Dalam pada itu Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebanyak 4,000 penyertaan disasarkan pada pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025.

Untuk tahun depan turut disasarkan peningkataan penyertaan daripada peserta bukan Melayu.

"Jadi ada satu tanggungjawab kita pada tahun depan mungkin kita akan fokus pada penyertaan pelajar dari utara atau Sabah dan Sarawak atau dari Pantai Timur .Tahun ini ramai peserta daripada semenanjung tengah dan selatan," kata Ngwe Hee Sem.

TETITIA YUSOFF