fb fb fb fb fb

Setahun genosid: Malaysia desak dunia bertindak terhadap Israel

Sebuah kereta kebal tentera penjajah Israel di kawasan berhampiran sempadan Gaza pada 6 Oktober lepas/AFP

KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Malaysia menyeru komuniti antarabangsa bersatu dan mengambil tindakan tegas untuk mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayah kemanusiaan terhadap rakyat Palestin, menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini.

"Masa untuk bertindak telah lama tiba," tegas kenyataan itu sempena genap setahun kekejaman berterusan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.

Wisma Putra turut mengulangi sokongan penuh Malaysia terhadap usaha penubuhan negara Palestin yang bebas dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Malaysia juga akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk mendapatkan keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

"Rejim Zionis Israel telah membunuh purata 115 rakyat Palestin setiap hari dan mencederakan 274 lagi, kebanyakannya warga emas, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah sepanjang tahun lalu.

"Komuniti hancur dan kawasan di Gaza kini tidak lagi dapat didiami. Dunia tidak boleh terus menutup mata terhadap nyawa yang hilang dan masa depan rakyat Palestin yang dirampas," menurut Wisma Putra.

Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel dilihat berterusan tanpa henti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi PBB dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat.

"Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting dan kini melanggar kedaulatan Lubnan," menurut kenyataan itu.

Kementerian menegaskan bahawa pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia termasuk genosid dan jenayah perang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

"Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima. Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin.

"Semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini," menurut Wisma Putra.

SITI AISHAH MD ISA