fb fb fb fb fb

Sesi persekolahan di 290 sekolah Kuala Lumpur lancar

Tuan Megat Affandi Ismail

KUALA LUMPUR, 17 Februari- Sesi persekolahan 2025/2026 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan 290 buah sekolah dengan seramai 209,957 orang murid yang bermula hari ini berjalan lancar.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) Tuan Megat Affandi Ismail berkata daripada jumlah itu seramai 45,853 murid baharu di sekolah rendah dan menengah sekitar ibu negara.

"Kita telah menggerakkan semua pegawai perhubungan di peringkat jabatan dan juga di daerah untuk pergi ke semua sekolah.

"Alhamdulillah hingga ke hari ini kita tidak mendengar sebarang masalah. Jadi perjalanan sekolah berjalan dengan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program 1st Day At School , peringkat negeri Wilayah Persekutuan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati di ibu negara.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan berkenaan peningkatan murid ke sekolah menunjukkan peningkatan sebanyak 89.21 peratus pada 2024 berbanding 88.81 peratus pada tahun 2023.

Peningkatan itu disokong insiatif reformasi pendidikan yang menekankan akses pendidikan berkualiti untuk semua.

"Kita telah melakukan satu gerakan bersama semua kaunselor yang pergi ke semua sekolah dalam memberi sokongan kepada murid-murid ini untuk bersekolah," katanya lagi.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Kuala Lumpur Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Roslan Yusof Mohamad.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI