KUALA LUMPUR, 17 Februari- Hubungan Malaysia dan ASEAN dengan China perlu terus diperkukuh berlandaskan kepercayaan dan saling menghormati.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menekankan kepentingan mengeratkan hubungan dua hala itu untuk memacu industri bernilai tinggi, inovasi serta pembangunan mampan.
"Ini sangat penting memandangkan pada 2023, jumlah perdagangan China dan ASEAN telah mencecah hampir AS$1 trilion (AS$1=RM4.42), kira-kira AS$900 bilion, menjadikan China sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dan sumber pelaburan langsung asing ketiga terbesar ASEAN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Persidangan China : Asia Tenggara 2025 di ibu negara.
Selain itu beliau turut menjelaskan bahawa ASEAN perlu lebih proaktif dan menerima persaingan kuasa besar, peralihan ekonomi dan peluang kemajuan teknologi termasuk melalui hubungan dengan China.
Beliau juga menggesa ASEAN untuk memperkukuh peranannya di tengah-tengah persaingan kuasa besar dan perubahan ekonomi.
Keperluan kritikal bagi ASEAN perlu diberi penekanan untuk memanfaatkan peluang dalam kemajuan teknologi, terutamanya dalam interaksi dengan China sekali gus memastikan pertumbuhan berterusan dan kemakmuran serantau.