
ALOR SETAR, 25 Februari – Masjid Zahir di sini, yang merupakan antara masjid tercantik di dunia terus menerima kunjungan orang ramai sepanjang bulan Ramadan.
- Masjid Zahir menyediakan juadah berbuka puasa percuma setiap hari sepanjang Ramadan.
- Sumbangan juadah disediakan oleh syarikat pembinaan Bumiputra USIMA Sdn Bhd untuk lebih 10 tahun.
- Program menampung 250–300 orang sehari dan menarik pengunjung tempatan serta pelancong.
Tambah menarik, juadah berbuka puasa secara percuma disediakan untuk mereka yang mahu berbuka puasa di masjid berkenaan sepanjang bulan yang mulia ini.
Juadah berbuka tersebut disumbangkan sepenuhnya oleh syarikat pembinaan Bumiputra yang berpengkalan di Alor Setar, USIMA Sdn Bhd sepanjang bulan Ramadan ini.
Lebih 10 tahun dilaksanakan, Pengarah Urusan syarikat, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, pelbagai menu menarik dihidangkan kepada orang ramai dengan lauk pauk yang berbeza setiap hari.
Juadah yang disediakan boleh menampung keperluan antara 250 hingga 300 orang sehari.
Selain penduduk setempat, pengunjung dari luar negeri yang bermusafir ke Negeri Kedah turut mengambil peluang berbuka puasa beramai-ramai di masjid yang serba cantik dan indah ini.
Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad berharap, program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang, kerana ternyata memberi manfaat kepada masyarakat.
Masjid Zahir merupakan masjid yang memiliki bangunan dan nilai sejarah tinggi di Kedah.
Rekabentuk dan senibina yang unik serta memukau menjadikan Masjid Zahir sebagai lokasi tarikan pelancong.
Masjid yang terletak di tengah-tengah Bandaraya Alor Setar ini telah berusia lebih 100 tahun sejak awal pembinaannya pada 11 Mac 1912 dan merupakan antara masjid paling popular di Malaysia.