fb fb fb fb fb

Seorang rentung, 30 rumah setinggan musnah terbakar di Tatau

30 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di penempatan Pekan Sangan lewat malam tadi

TATAU, 26 Disember - Seorang individu ditemukan rentung selepas kira-kira 30 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di penempatan Pekan Sangan, di sini, lewat malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.18 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan penempatan rumah setinggan dengan kesemua struktur tidak kekal terbakar hampir 100 peratus, namun jumlah sebenar rumah yang terlibat masih dalam siasatan.

Operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan lokasi kejadian terletak di seberang sungai dan tidak mempunyai akses jalan raya, menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan perahu penduduk kampung untuk membawa peralatan ke lokasi kebakaran.

“Mayat mangsa ditemui pada pukul 2.36 pagi di lokasi kejadian. Identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan jumlah sebenar mangsa yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Kerja-kerja pemeriksaan lanjut serta overhaul masih diteruskan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada punca kebakaran semula dan bagi membantu siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN