Senyuman terukir, tujuh bekas pengamal media disantuni

Kelab Media Johor menyerahkan sumbangan kepada penerima/ Foto RTM

JOHOR BAHRU, 14 Mac – Seramai tujuh bekas pengamal media menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Ramadan dan Tahun Baharu Cina anjuran Kelab Media Johor (KMJ) di sekitar Kulai dan Johor Bahru.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelab Media Johor meneruskan inisiatif tahunan memastikan kebajikan bekas pengamal media, serta membantu mendapatkan bantuan Tabung HAWANA.
  • Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menyumbang bakul makanan, kuih raya dan wang tunai kepada penerima.
  • Penerima termasuk pesakit jantung, kanser hati dan masalah penglihatan; KMJ juga menziarahi keluarga jurufoto arwah Baazlan Che Rahim.

Program itu turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menyumbang bakul makanan, kuih raya serta wang tunai kepada penerima.

Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata inisiatif tahunan itu bertujuan memastikan kebajikan rakan media, khususnya bekas pengamal media yang berdepan masalah kesihatan, terus diberi perhatian.

“Kita juga cuba membantu mendapatkan kemudahan daripada Tabung HAWANA. Ada rakan media yang kurang sihat dan kita cuba menyalurkan perkara ini kepada pihak atasan untuk membantu dari segi kewangan dan keperluan lain,” katanya.

Antara penerima sumbangan termasuk penghidap penyakit jantung, kanser hati serta masalah penglihatan.

Salah seorang penerima, Mohd Saat Yaacob menyatakan rasa terharu dan menghargai keprihatinan KMJ yang terus mengambil berat kebajikan rakan media.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kelab Media Johor kerana sudi berkunjung menziarahi saya. Perasaan itu sangat terharu dan gembira kerana dapat berjumpa semula dengan rakan-rakan lama,” katanya.

Dalam pada itu, KMJ turut berkesempatan menziarahi keluarga jurufoto akhbar tempatan, Allahyarham Baazlan Che Rahim yang meninggal dunia pagi tadi.

Isterinya, Rabita Hanif memaklumkan arwah sebelum itu hanya mengadu sakit kepala sebelum tiba-tiba muntah dan mengalami sesak nafas.