1,098 NADI Seluruh negara diaktifkan, sasar perkasa 10,000 usahawan

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Sebanyak 1,098 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara diaktifkan secara serentak hari ini bagi menjayakan Bazar Raya NADI 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan Pintar NADI bukan sekadar platform jualan bermusim, sebaliknya pemangkin ekonomi digital bagi komuniti luar bandar.
  • Program memberi tumpuan pendidikan melalui Kempen Internet Selamat untuk meningkatkan penggunaan teknologi bertanggungjawab.
  • MCMC menyasarkan penglibatan sehingga 10,000 usahawan, peningkatan dua kali ganda berbanding tahun lalu.
  • Kerjasama strategik dengan KPDN, FAMA dan LPP menerusi Jualan Rahmah MADANI serta Jualan Agro MADANI ringankan kos sara hidup.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, inisiatif bawah Perkhidmatan Pintar NADI ini bukan sekadar platform jualan bermusim, malah berfungsi sebagai pemangkin ekonomi digital luar bandar dan komuniti setempat.

“Selain aktiviti jualan, program ini turut menekankan aspek pendidikan melalui Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penggunaan teknologi secara bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bazar Raya NADI di Padang Bola Sri Johor 4AB, Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Ia merupakan sebuah inisiatif besar-besaran untuk memperkasa usahawan komuniti menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Program diselaraskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu menyasarkan penglibatan sehingga 10,000 usahawan tahun ini, iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding 5,000 peserta pada tahun lalu.

Bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, MCMC turut menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan lain antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Jualan Rahmah MADANI serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerusi Jualan Agro MADANI.

Langkah itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat dapat memperoleh barangan keperluan pada harga mampu milik sebelum menjelangnya musim perayaan.

Selain Kuala Lumpur, kempen promosi tahun ini turut diperluaskan ke lokasi lain iaitu Gombak, Ipoh, Kulai dan Kubang Semang bagi memastikan impak lebih menyeluruh

Penganjuran Bazar Raya NADI 2026 merupakan kesinambungan usaha MCMC dalam memperkukuh ekosistem ekonomi digital, merapatkan jurang digital, serta meningkatkan daya saing sosioekonomi rakyat di seluruh pelosok negara.