KUANTAN, 4 Jun- Anak jati Jerantut Siti Nur Syakira Mohd Mustapha muncul Johan bagi Pertandingan Senandung Rakyat Pahang anjuran RTM Pahang yang julung kali diadakan di Auditorium Darul Makmur disni malam.
Menyanyikan lagu berjudul ‘Mudik Meminang’, nyata membawa tuah buat dirinya meskipun pertama kali mendendangkan lagu tersebut serta menyanyikannya di pentas yang dihadiri hampir 900 penonton.
Walaupun mempunyai tempoh singkat untuk melakukan persiapan namun usaha kerasnya membuahkan hasil serta memberi inspirasi untuk lebih fokus dalam pertandingan itu.
"Syukur alhamdulillah, sebab sudah sampai ke tahap ini, itu rezeki Allah. Saya juga tidak enyangka kemenangan ini.
"Apapun, terima kasih kepada RTM kerana telah memberi peluang kepada semua peserta untuk menyertai pertandingan ini," katanya kepada pemberita di sini.
Seramai 10 peserta berentap mendendangkan lagu-lagu kesenian negeri Pahang di pentas akhir.
Naib johan berjaya diraih oleh Shamsul Bahri Muharis yang turut menggondol anugerah persembahan terbaik dan tempat ketiga di raih oleh Nur Shahira Abdul Malik.
Pertandingan Senandung Rakyat Pahang turut disiarkan secara langsung di Saluran TV2, dan dibarisi empat juri berpengalaman iaitu, Luqman Abdul Aziz selaku ketua juri, Dato Aripin Said, Siso Kopratasa dan penyanyi terkenal lagu loghat Pahang iaitu Roslan Madun.
Pada pertandingan itu, juara menerima wang tunai RM5,000.00, naib juara RM3,000.00 dan tempat ketiga RM2,000.00 berserta piala dan sijil penyertaan.
Manakala, Pemenang Persembahan Terbaik membawa pulang wang tunai RM1,000.00.
Kesemua pemenang membawa pulang piala dan sijil penyertaan, manakala penerima hadiah saguhati masing-masing menerima wang tunai RM500.00 dan sijil penyertaan.
Pertandingan yang dihoskan oleh DJ Hezree dan rosma itu turut diserikan lagi dengan persembahan daripada artis jemputan Datuk Jamal Abdillah dan kumpulan jemputan Anak Kayan.
(Siti Nur Syakira Mohd Mustapha)