BUKIT JALIL, 30 Jun- Kerajaan memberi jaminan semua pelajar cemerlang yang berjaya mendapat keputusan 10A ke atas dalam SPM akan mendapat tempat melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi tanpa mengira kaum dan latar belakang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu tidak akan menganggu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.
Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota Bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk menfaat semua pelajar terpelihara.
"Jumaat lalu, Jemaah Menteri telah bersidang.. mendengar keluhan rakyat, melihat, mengkaji, meneliti unsur dan cadangan penyelesaian, ia tidak boleh gopoh tanpa meminggirkan satu kelompok.
"Jadi tahun ini, Kerajaan MADANI telah membuat keputusan, semua anak-anak kita, mahu jadi pemimpin di negara ini mesti ada sikap yang jelas, anak-anak kita tanpa terkecuali, semua rakyat, Melayu itu anak kita, Cina anak kita, India anak kita, Dayak atau Kadazan, semua suku kaum Sabah, Sarawak anak kita.. kalau ada anggapan itu boleh jadi pemimpin negara ini. Anggap semua satu keluarga besar.
"Yang mencatat 10A dan lebih, mendapat keputusan yang cemerlang..semua harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan," katanya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Penutup Nasional Training Week (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil di sini.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama memperincikan kaedah serta pelaksanaan perkara itu dalam masa terdekat.