GEORGE TOWN, 11 Mei - Penyelidik-penyelidik dan para inovator seluruh Malaysia dihimpunkan untuk berkongsi ilmu inovasi pedagogi.
Seramai 296 peserta terlibat dengan Seminar Pinang STEM Digital 2022 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang.
Pengerusi Seminar PINANG STEM Digital 2022, Aneesha Hamid berkata para peserta terdiri daripada pensyarah dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk pelajar sekolah.
Pelaksanaannya bertujuan membudayakan penyelidikan dan inovasi bertepatan dengan Kluster ke-3 Transformasi IPG 2016 hingga 2025.
Ia selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang akan memperkukuhkan sistem pendidikan negara termasuk memantapkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan warga pendidik.
(Aneesha ditemui pemberita RTM dalam majlis pelancaran
Seminar Pinang STEM Digital 2022 di sini)
"Untuk berkongsi ilmu tentang inovasi-inovasi yang mereka buat terutamanya dalam pedagogi. Jadi kita menggunakan platform ini untuk berkongsi inovasi-inovasi terbaik terutamanya dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kalau kita tahu hasrat kerajaan adalah untuk mempertingkatkan pendidikan STEM," kata Aneesha.
Seminar yang berlangsung selama dua hari itu akan berakhir esok.