fb fb fb fb fb

Sembilan lagi rakyat Malaysia dibawa pulang

SEPANG, 30 Oktober - Sembilan mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja selamat tiba di tanah air pada pukul 11.30 malam tadi.

Kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dengan menaiki pesawat Air Asia.

Wakil Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Shafiq Sazali berkata mangsa yang dipaksa dan diugut untuk bekerja sebagai 'scammer' di negara tersebut diselamatkan di sempadan Vietnam.

"Mangsa telah menghubungi pihak MHO secara dalam talian. Dalam tempoh seminggu kami berhubung dengan mangsa.

"Kami mendapat kerjasama daripada warga tempatan di Vietnam untuk membawa mereka keluar," katanya kepada pemberita.

Tujuh mangsa merupakan anak kelahiran Johor manakala 2 lagi berasal dari Pulau Pinang.

Proses menyelamat dilakukan melalui kerjasama beberapa pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedutaan Malaysia di Kemboja serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara itu, tujuh rakyat Johor yang terkandas di Kemboja itu tiba di Johor Bahru pagi tadi.

Empat daripadanya tiba dengan kenderaan yang disediakan kerajaan negeri.

Media Baharu