fb fb fb fb fb

Perkhidmatan 5G, Kelantan bakal nikmati kemudahan lebih awal

KOTA BHARU, 30 Oktober- Kelantan bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi 5G lebih awal daripada jangkaan sebelumnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata keutamaan itu diberikan berlandaskan beberapa prospek pembangunan yang sedang giat dilaksanakan.

Antaranya, pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa serta pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR).

Beliau berkata, pelaksanaan kesemua projek pembangunan tersebut perlu selari dengan perkhidmatan jalur lebar yang ditawarkan, khususnya dalam menarik peluang pelaburan masuk ke Kelantan.

Jelas Annuar, secara strategik Kelantan akan dibangunkan sebagai hub logistik kawasan timur yang penting dan akan menjadi perkhidmatan logistik antarabangsa terutama dalam mewujudkan peluang pekerjaan.

"Kepentingan 5G ini bukan hanya pada soal pengguna telefon bimbit, kita harap masyarakat faham, ini adalah suatu pendekatan strategik untuk menggalakkan pertumbuhan industri di Kelantan.

"Sebab industri sekarang ini kalau kita nak bawa daripada luar negara dia akan tanya ada 5G atau tidak, ECRL dan lebuh raya dan rangkaian 5G ini mesti disekalikan jangan berasing-asing, daripada situ bila ada satu blueprint kita boleh promosi dia ke luar negara," katanya.

(Tan Sri Annuar Musa)

Beliau menyatakan demikian pada program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM), di sini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata persetujuan juga dicapai dengan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi menjadikan Kelantan keutamaan bagi pekhidmatan itu selain rundingan menyambung pembinaan tapak menara 5G di jajahan Kota Bharu.

Ia melibatkan kawasan pekan utama seperti Kok Lanas, Melor, Peringat dan Kadok dengan pembinaan keseluruhan 10 menara, termasuk berhampiran Kem Desa Pahlawan untuk kegunaan pihak tentera.

Media Baharu