AMPANG JAYA, 18 Januari- Perkembangan positif ekonomi dan kemasukan pelaburan yang agresif di Selangor sepanjang tahun lalu menyumbang kepada hasil pendapatan sebanyak RM2.858 bilion.
Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapan yang dibacakan Exco Kesihatan Selangor, Jamaliah Jamaluddin, rekod pencapaian tertinggi berkenaan turut disumbang dengan kerjasama erat antara pentadbiran negeri dengan swasta selain sokongan polisi.
"Selangor mencatat hasil akhir pendapatan 2024 berjumlah RM2.858 bilion iaitu tertinggi dalam sejarah negeri ini. Jumlah itu melepasi pencapaian terbaik kutipan Selangor pada 2017 iaitu RM2.811 bilion.
"Manakala bagi pelaksanaan perbelanjaan sepanjang 2024 pula, Selangor mencatat prestasi perbelanjaan pengurusan 98.07 peratus dan perbelanjaan pembangunan 97.18 peratus," katanya.
Sebelum ini, Selangor memperoleh kutipan hasil pendapatan sebanyak RM2.7 bilion pada 2023, RM2.5 bilion (2022) dan RM2.3 bilion (2021).
Jamaliah mewakili Amirudin pada Majlis Makan Malam Apresiasi Pembangunan Ampang Jaya di sini.
Seramai 900 tetamu daripada lebih 80 pemaju dan syarikat konsesi memeriahkan majlis tersebut dengan menampilkan persembahan istimewa Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.