fb fb fb fb fb

Selangor rancang tubuh jabatan data untuk perancangan pembangunan

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 5 Disember - Selangor bercadang mewujudkan sebuah jabatan data bagi mengumpul dan memperincikan data terkini yang lengkap pelbagai sektor di negeri itu. 

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagi memantapkan lagi perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan. 

Katanya, kewujudan jabatan data itu di peringkat negeri akan menjadikan usaha merangka dasar dan perancangan lebih pantas dengan adanya data terkini. 

"Kita telah mengumpul data yang begitu banyak mempunyai kemampuan untuk menganalisa data dan sebagainya tetapi kita juga memerlukan satu data dan kajian yang berterusan supaya pada masa masa hadapan saat kita ingin melaksanakan satu dasar dan membangunkan satu blue print kita mempunyai data yang lengkap.

"Dan keperluan ini kalau ada satu jabatan yang tetap untuk mempunyai kajian data terperinci Selangor saya rasa ini satu contoh cadangan yang begitu baik," kata Amirudin.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dialog Shah Alam di Universiti Selangor (UNISEL), di sini.

Dialog Shah Alam menampilkan mantan Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai penyampai syarahan utama selain pengisian forum yang mengupas topik memperkasa ekonomi rakyat.

TETITIA YUSOFF