fb fb fb fb fb

Selangor rancang bina LRT di kawasan luar bandar

Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kerajaan Negeri Selangor sedang merancang pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di kawasan luar bandar iaitu di selatan dan utara negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kajian mengenai perkara itu telah dimulakan sejak tahun lepas dan dijangka siap pada April ini untuk dibentangkan.

Pihaknya juga sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan mengenai hasrat tersebut.

"Kemungkinan kalau boleh mulakan, kita akan laksanakan di selatan dahulu tahun ini, atau paling cepat tahun depan.

"Untuk di utara, ia melibatkan kos kerana ia memerlukan kos tinggi dan saya perlu pelabur yang bersedia untuk menyambung laluan dari Sabak Bernam sampai ke Klang dan Sabak Bernam ke Shah Alam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas temuramah ekslusif menerusi program ‘Kita Selangor’ di Konti Selangorfm, Wisma Radio, Angkasapuri Kota Media di sini.

Menurut beliau, projek LRT itu dijangka mengambil masa enam tahun untuk disiapkan bagi memudahkan penduduk luar bandar menerima pengangkutan awam sebagai alternatif baharu untuk bergerak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI