fb fb fb fb fb

Selangor peneraju ekosistem halal, al-Quran jadi panduan pembangunan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Disember- Selangor terus menjadi negeri peneraju pembangunan ekosistem halal di Malaysia, dengan ratusan syarikat kini diperakui melalui sistem penyeliaan yang telus, berintegriti dan berakauntabiliti.

Komitmen tersebut membuktikan tadbir urus halal bukan sahaja memperkukuh keyakinan pengguna, malah membuka peluang ekonomi yang lebih luas bagi rakyat negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa usaha berkenaan telah dijalankan lebih setengah abad, hasil kerjasama erat antara kerajaan, industri dan masyarakat.

Selain memperkukuh sektor halal, Selangor turut melaksanakan inisiatif memperkasa usahawan kecil dan mikro serta memudahkan akses pembiayaan melalui institusi kewangan negeri dan rakan strategik.

"Antara pelbagai usaha yang telah kami jalankan, tadbir urus halal menonjol sebagai salah satu contoh paling jelas bagaimana nilai Al-Quran boleh diterjemahkan ke dalam dasar dan sistem. Selama lebih daripada setengah abad, Selangor telah berusaha menstrukturkan pengawasan halal secara institusi, menjadikannya sebagai amanah bersama antara kerajaan, industri dan masyarakat.

Hari ini, Selangor menjadi salah satu ekosistem halal paling aktif di Malaysia, dengan pelbagai syarikat yang disahkan beroperasi di bawah rangka kerja yang jelas, telus dan berintegriti. Namun, saya ingin menekankan ini, halal bukanlah satu-satunya manifestasi ekonomi berlandaskan Al-Quran. Ia hanyalah satu contoh konkrit. Misi yang lebih besar adalah untuk memastikan setiap dasar, setiap program, dan setiap kerjasama mencerminkan semangat keadilan, ihsan dan amanah yang dituntut oleh Al-Quran," kata Datuk Seri Amirudin, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan World #QuranConvention anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari, di sini.

Menurutnya, Al-Quran bukan sekadar bahan bacaan, tetapi dijadikan panduan dalam merangka dasar dan memacu pembangunan masyarakat. 

Katanya, Surah Al-Balad ayat 17 menjadi asas kepimpinannya, manakala Surah Al-Saff membantu menyelaraskan kata dan tindakan serta memperkukuh kesatuan dan disiplin masyarakat.

Pendekatan itu membolehkan Selangor membina model ekonomi Quranik yang adil, menolak eksploitasi, dan memperkukuh prinsip amanah serta ketelusan.

Konvensyen yang memasuki edisi kelima tahun ini, membawa tema Surah Al-Saff: Quranic Solutions for Global Economic Challenges, menjadi platform peringkat antarabangsa menghimpunkan pemimpin global ekonomi, ulama serta aktivis komuniti.

Konvensyen melibatkan penyertaan 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Iran, Brunei dan Indonesia, membincangkan bagaimana nilai al-Quran boleh diaplikasikan dalam ekonomi kontemporari termasuk etika perniagaan, pelaburan lestari, tanggungjawab sosial dan pembangunan komuniti.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM