KUALA LUMPUR, 6 Disember- Seramai 1,005 graduan daripada pelbagai bidang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Kolej UniKOP Ke-5, hari ini.
Istiadat itu dirasmikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Tambah Datuk Seri Mohd Khalid, beliau menekankan bahawa pencapaian graduan bukan sahaja hasil usaha sendiri, tetapi juga sokongan keluarga, bimbingan pensyarah serta kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kolej UniKOP.
"Sebagai institusi yang komited dalam bidang penguatkuasaan, Kolej UniKOP memainkan peranan signifikan dalam merangka kurikulum yang relevan dan praktikal.
Di sini lahirnya wadah insan berintegriti dan berkualiti, generasi yang diasuh mindanya, diperkasa jiwanya, serta dipersiap untuk berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara," kata Datuk Seri Mohd Khalid dalam ucapan pembukaannya, di sini.
Beliau turut menyuarakan hasrat menjadikan kolej tersebut bertaraf antarabangsa.
Justeru, menyeru sokongan berterusan daripada PDRM, graduan dan keluarga bagi memastikan kolej terus maju seterusnya melahirkan individu bermotivasi tinggi yang menyumbang kepada kejayaan negara.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ketua Polis Negara kepada Julia Qistina Haiqal Mohd Hafiz daripada jurusan Diploma Investigation Services, yang membawa pulang RM1,000 dan syiling emas.
10 graduan lain menerima Anugerah Pelajar Terbaik, masing-masing menerima RM200 dan jongkong perak.