SELANGOR, 31 Mei- Selangor bercadang menawarkan subsidi pembelian motosikal antara RM500 hingga RM1,000 kepada peserta Program MyLesen B2, sekiranya program itu diteruskan tahun hadapan.
Jelas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, langkah itu bertujuan membantu golongan belia daripada keluarga berpendapatan rendah memiliki motosikal yang lebih selamat dan selesa sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
"Kita sedia berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperluaskan manfaat program ini agar peserta bukan sahaja menerima lesen, topi keledar dan jaket keselamatan, tetapi juga subsidi pembelian motosikal," katanya.
Menurut beliau, jumlah subsidi akan bergantung kepada bilangan penyertaan, di mana jumlah peserta yang ramai mungkin menyaksikan kadar subsidi lebih rendah manakala penyertaan yang kecil membolehkan bantuan lebih tinggi diberikan.
Amirudin menegaskan aspek keselamatan penunggang kekal menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam setiap perancangan mobiliti dan pengangkutan belia, menerusi pelaksanaan dan saringan ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penyertaan peserta dalam sesi taklimat dan latihan sebelum pemberian lesen.
Terdahulu, seramai 1,200 belia daripada golongan B40 di Selangor menerima lesen memandu motosikal kelas B2 menerusi Program MyLesen Tahun 2025 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Program MyLesen B2 diperkenal menerusi inisiatif Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang menyasarkan pelajar sekolah, penuntut institusi pengajian tinggi serta golongan belia dari keluarga berpendapatan rendah di seluruh negeri.
Program tersebut merupakan komitmen dan usaha cakna kerajaan untuk membantu golongan B40 mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.
Inisiatif itu juga sebagai langkah untuk melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya.