fb fb fb fb fb

Johor tetap garis panduan penggunaan AI di Sekolah Rintis Bangsa Johor

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin ditemui pemberita selepas menghadiri Program MADANI Rakyat 2025 di Pasir Gudang/Foto Awang Zulhilmi Awang Sebawi

JOHOR BAHRU, 31 Mei - Kerajaan Johor akan menetapkan garis panduan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi tersebut dalam kalangan pelajar dan institusi pendidikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, berkata garis panduan berkenaan akan mengehadkan penggunaan AI bagi tujuan pendidikan.

Tambah beliau, ini sejajar dengan usaha kerajaan negeri memperkasa pendidikan digital secara terkawal.

“Kita faham pernah berlaku kes penyalahgunaan AI sebelum ini. Jadi kita menetapkan garis panduan untuk menghadkan penggunaan teknologi ini.

"Di samping itu, Johor Talent Development Council (JTDC) juga telah menggerakkan beberapa agensi dan institusi pendidikan untuk mengintegrasikan elemen AI dan digital dalam silibus masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program MADANI Rakyat 2025 di Pasir Gudang, di sini hari ini.

Aznan berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat swasta bagi melaksanakan aktiviti pembangunan kemahiran melibatkan AI dan pengekodan yang akan dimasukkan dalam program pendidikan negeri.

Tambahnya, usaha tersebut penting dalam memastikan Johor dapat menjadi antara penyumbang utama tenaga mahir dalam bidang AI dan digital di negara ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN