KUALA LUMPUR, 31 Mei - Malaysia mencatat satu lagi sejarah penting apabila dipilih secara rasmi sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pemilihan itu selepas Malaysia menerima sokongan sebulat suara daripada kesemua 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kenya.
"Pengumuman rasmi mengenainya telah dibuat semasa sesi Pemilihan Pegawai Biro dalam Persidangan UN-Habitat di Nairobi," katanya menerusi hantara di Facebook malam tadi.
Persidangan UN-Habitat merupakan platform utama anjuran UN-Habitat yang menghimpunkan wakil kerajaan, pertubuhan antarabangsa, masyarakat sivil dan pakar bandar dari seluruh dunia untuk membincangkan dasar serta cabaran pembangunan bandar dan penempatan manusia secara mampan.
Ditubuhkan pada tahun 1975, berpangkalan di Nairobi, Kenya, UN-Habitat memainkan peranan penting dalam mempromosi pembangunan bandar yang inklusif, berdaya tahan dan mesra alam.
Ini sejajar dengan komitmen komuniti antarabangsa terhadap Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).