fb fb fb fb fb

Malaysia berhasrat teruskan keanggotaan Ahli Majlis International Telecommunication Union (ITU)

Datuk Fahmi ketika mengadakan perbincangan dua hala dengan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr. Cosmas Luckyson Zavazava di Tokyo.

TOKYO, 31 Mei - Malaysia berhasrat untuk meneruskan keanggotaan sebagai Ahli Majlis dalam International Telecommunication Union (ITU) bagi sesi 2027-2030.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sehubungan itu, Malaysia berharap akan memperoleh sokongan daripada beberapa negara rantau Asia Pasifik, menerusi pertemuan dua hala yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri Asia Pacific Telecommunity (APT-MM) 2025.

“Sebagai Ahli Majlis, Malaysia memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dasar strategik ITU, mengawasi pelaksanaan keputusan yang dibuat semasa persidangan serta mewakili kepentingan rantau Asia dan negara membangun dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital,” katanya di sini.

Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dua hala bersama ITU yang diwakili Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU Dr Cosmas Luckyson Zavazava.

Perbincangan dua hala turut diadakan bersama Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun  Murakami Seiichiro dan Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Yunming Zhang.

“Mesyuarat ini mempunyai hasil yang cukup baik. Kita telah tegaskan usaha Malaysia dalam memastikan rangkaian Internet bukan hanya meluas tapi lebih selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata pihak ITU telah mengusulkan jemputan untuk Malaysia menghadiri  beberapa sidang kemuncak yang dikelolakan oleh pihak ITU. 

“Pertama di Riyadh, Arab Saudi sekitar awal September dan kedua di Baku, Azerbaijan pada November,” tambahnya.

APT-MM 2025 bermula 30 hingga 31 Mei menghimpunkan 31 negara anggota serta 19 ahli gabungan terdiri daripada pihak kerajaan, pengawal selia dan agensi swasta dari rantau Asia-Pasifik. - BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN