fb fb fb fb fb

ISWAMI perkukuh jaringan media Malaysia-Indonesia, termasuk AI

Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail/Foto Grace Aisyah

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) perkukuh kerjasama strategik dalam bidang komunikasi dan media antara Malaysia dan Indonesia, selaras dengan perkembangan teknologi semasa termasuk kemunculan kecerdasan buatan (AI).

Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail, berkata tumpuan kerjasama ini bukan sahaja untuk mengeratkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin, malah memperkasa media kedua-dua negara dalam menghadapi cabaran era digital yang sarat dengan ketidaktentuan serta impak teknologi baharu seperti AI.

“Dalam dunia yang berpecah-belah dan sarat dengan gelombang AI yang melanda setiap sisi kehidupan bermasyarakat dan negara, media selaku penggagas idea dan pendiri bangsa harus lebih agresif mendepani cabaran ini demi membina kemakmuran serantau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ashwad berkata demikian bagi mengulas pertemuan Menteri Komunikasi Malaysia, Datuk Fahmi Fadzil, dan Menteri Komunikasi dan Digital Republik Indonesia, Meutya Viada Hafid di Tokyo hari ini agar hubungan media kedua-dua negara dibawa ke tahap lebih tinggi.

Pertemuan kedua-dua menteri berkenaan turut menekankan peranan penting ISWAMI sebagai pemacu utama perkukuh jaringan profesional media serta menyemai pemahaman dan persefahaman antara rakyat melalui penceritaan yang inklusif dan berpandangan jauh.

Menurut Ashwad, ISWAMI akan mengadakan perbincangan susulan dengan rakan media di Indonesia bagi merangka pelan tindakan bersama merangkumi pertukaran wartawan, program latihan profesional serta penganjuran forum dan dialog media serantau.

“Langkah ini penting untuk memperkukuh kapasiti media kedua-dua negara, memastikan tanggungjawab penyampaian maklumat dapat diperkasa menerusi kewartawanan yang inklusif dan berorientasikan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan, turut menyambut baik inisiatif tersebut dan menegaskan keperluan untuk menangani cabaran maklumat dalam era media sosial tanpa sempadan.

“Hubungan antara pemimpin kedua-dua negara sangat mesra, tetapi di peringkat masyarakat, keperluan kepada informasi yang tepat dan boleh dipercayai menjadi sangat penting. ISWAMI terus mengambil peranan dalam bertukar dan menyebarkan maklumat yang sahih,” katanya.

ISWAMI yang ditubuhkan pada tahun 2005 oleh wartawan senior dari kedua-dua negara berfungsi sebagai jambatan dalam memperkukuh kerjasama media serumpun demi manfaat bersama.

Pada Februari 2024, seramai 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia menyertai Program Jejak Serumpun ke Jakartabagi memperkukuh hubungan media antara kedua-dua negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN