SINGAPURA, 31 Mei – Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan geopolitik kuasa besar dan akan terus mempertahankan kebebasannya dalam ruang strategik sendiri.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Kuala Lumpur kekal dengan pendirian untuk memastikan kestabilan rantau ini dapat dikekalkan selain memastikan negara tidak terikat dengan mana-mana pakatan yang boleh menggugat kedaulatan dan kestabilan serantau.
“Malaysia tidak akan menyertai mana-mana pakatan yang membina tembok dan bukannya jambatan,” tegas beliau, merujuk kepada pelbagai pakatan seperti Quad dan AUKUS.
Datuk Seri Anwar turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan membentuk pakatan tertutup yang boleh meminggirkan ASEAN sebagai pelantar utama kerjasama dan keselamatan serantau.
Jelas beliau, kawalan terhadap industri pertahanan dan infrastruktur kritikal adalah hak mutlak setiap negara, dan Malaysia akan terus menjalin hubungan dengan semua kuasa besar secara seimbang demi kepentingan strategik sendiri.
"Kami tidak berminat untuk melihat konflik tercetus, lebih-lebih lagi di perairan yang amat penting kepada keselamatan dan kemakmuran kami sendiri. Itulah sebabnya kami (Malaysia) akan terus berhubung dengan semua pihak secara tenang, langsung dan berterusan," katanya ketika berucap pada forum keselamatan Shangri-La Dialogue 2025 di sini.