KUALA TERENGGANU, 31 Mei — Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu berjaya merampas 28 ekor kambing yang disyaki diseludup dari negara jiran dalam satu operasi di Kampung Teris, Hulu Terengganu, pagi tadi.
Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya menahan sebuah van Toyota Hiace berwarna putih hasil risikan selama beberapa hari.
“Van itu ditahan sekitar pukul 10 pagi selepas pasukan penguat kuasa mengekori kenderaan terbabit dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan. Penahanan dibuat selepas berlaku kejar-mengejar dengan suspek,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Menurut beliau, penggunaan van bertutup sebagai modus operandi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk van berkenaan dianggarkan berjumlah RM86,000. Dua lelaki berusia lingkungan 50-an turut ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan denda hingga RM15,000.
Dr Anun tidak menolak kemungkinan kambing terbabit diseludup masuk bagi memenuhi permintaan tinggi sempena ibadah korban Aidiladha di Terengganu dan negeri lain.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa ekor kambing menunjukkan simptom seperti batuk, selesema dan mulut berbuih. Kita bimbang haiwan ini membawa penyakit berjangkit seperti penyakit kuku dan mulut (FMD),” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan mempertingkat penguatkuasaan menjelang Aidiladha bagi membanteras pemindahan haiwan tanpa pemeriksaan kesihatan.
Setakat tahun ini, JPV Terengganu telah menyekat 13 kes pemindahan haiwan secara haram melibatkan 78 ekor lembu dan 46 ekor biri-biri.