PUTRAJAYA, 31 Mei – Malaysia bakal memperkukuh pasaran pelancongan dari Asia Barat dengan mengadaptasi model pakej pelancongan “Brunei +” yang terbukti berjaya menarik pelancong melalui kerjasama dengan Royal Brunei Airlines.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pakej pelancongan “Brunei + Kuala Lumpur atau Kota Kinabalu” yang menawarkan penginapan semalam percuma di Brunei sebelum meneruskan perjalanan ke Malaysia, telah menerima sambutan menggalakkan.
Menerusi kenyataan hari ini, beliau memaklumkan pakej tersebut kini turut diperluaskan ke Kuching, Sarawak, dan pendekatan sama dirancang untuk dilaksanakan di pasaran Asia Barat dan India.
Ketika menghadiri Arabian Travel Market 2025, Tiong bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, telah mengadakan pertemuan dengan Pengurus Wilayah UAE bagi Royal Brunei Airlines, Jalal Sanour Rahman.
Hasil pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju menyesuaikan model “Brunei +” bagi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE), termasuk merangka pakej pelancongan selama 7 hari 6 malam.
Malaysia menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya satu juta pelancong daripada 4.5 juta ekspatriat India yang menetap di UAE menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sebagai sebahagian promosi, seramai 30 wakil Royal Brunei Airlines dari UAE akan dijemput menyertai lawatan suai kenal ke Malaysia antara September hingga Oktober ini.
Tiong turut mencadangkan pembukaan laluan baharu termasuk penerbangan terus dari Dubai ke Brunei dengan sambungan ke negeri-negeri seperti Melaka, Johor, Pahang dan Perak. Laluan ini boleh dilaksanakan melalui perjanjian kod perkongsian atau penerbangan sewaan khas.
Strategi ini dijangka turut mengukuhkan sektor pelancongan mesra Muslim dengan kemasukan pelancong melalui Brunei dan keluar menerusi Semenanjung Malaysia.
Melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama antarabangsa, Malaysia optimis untuk mencapai sasaran 45 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.