fb fb fb fb fb

CEMI lonjak industri hiburan, beri manfaat kepada artis tempatan

Foto-RTM

KULAI, 31 Mei – Inisiatif Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) bukan sahaja menarik minat penganjur antarabangsa, malah turut memberi manfaat besar kepada artis dan penganjur tempatan dalam industri hiburan tanah air.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, CEMI diwujudkan sebagai usaha memperkukuh ekosistem hiburan serta memperluas produk seni tempatan.

Melalui inisiatif itu, penganjur konsert tempatan layak menerima rebat 30 peratus daripada jumlah perbelanjaan Qualified Malaysian Concert & Events Spend (QMCES), dengan pembiayaan maksimum sehingga RM1 juta.

Menurut Teo, bantuan itu bertujuan memastikan artis tempatan tidak tersisih, selain memberi peluang kepada mereka untuk menganjurkan konsert walaupun berskala kecil.

Bagi penganjur konsert artis antarabangsa pula, rebat yang sama diberikan dengan jumlah pembiayaan maksimum RM1.5 juta.

Permohonan untuk CEMI dibuka secara dalam talian menerusi laman web rasmi MyCreative Ventures bermula 15 Mei lalu dan akan ditutup pada 10 Julai.

Teo berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sumbangan Murid Cemerlang SPM 2024 Peringkat Parlimen Kulai di sini hari ini.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN