GOMBAK, 31 Mei - Selangor melancarkan Skim Khairat Darul Ehsan (KDE) di bawah inisiatif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dalam menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada waris yang kehilangan anggota keluarga.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini bantuan kewangan kepada waris yang meninggal dunia disalurkan melalui pelbagai program berasingan seperti Skim Mesra, Iltizam Selangor Sihat (ISS), dan Skim Insurans Am Selangor (Insan).
Katanya, terdapat dua kategori kelayakan untuk memohon KDE iaitu warga am dan orang kurang upaya (OKU).
"Sebagaimana yang saya maklumkan dalam belanjawan, kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta dan kita sasarkan lebih kurang 18 ribu penerima manfaat Khairat Darul Ehsan berbanding skim-skim khairat terdahulu yang memperuntukkan RM12 juta untuk 5,995 penerima.
"Jumlah 18 ribu ini adalah anggaran daripada angka kematian di kalangan warga yang berumur 50 tahun dan ke atas yang dicatatkan setiap tahun, mungkin kurang, mungkin lebih dan untuk maksud tersebut, ada kategori am, iaitu yang berusia 50 tahun ke atas warga negara Malaysia dan pengundi Selangor.
"Kategori B, iaitu pengundi Kategori OKU, tiada had umur, daripada umur 1 tahun 1 bulan sampai 90 tahun ataupun 100 tahun kalau ada. Pemegang kad OKU Jabatan Kebajikan. Syaratnya warganegara Malaysia, salah seorang ibu bapa merupakan pengundi, salah seorang sahaja, dan menetap di negeri Selangor," katanya selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Khairat Darul Ehsan di Bandar Baru Selayang.
KDE merupakan antara usaha dilaksanakan kerajaan negeri dalam memperkukuh penyampaian manfaat kepada rakyat, selain memenuhi janji manifesto di bawah gagasan '5 Tekad untuk 5 Tahun.
Kerajaan Negeri menyeru semua warga Selangor yang memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar di laman sesawang kde.yawas.com.my bermula 1 Jun 2025.