KUALA LUMPUR, 31 Mei - Penganjuran Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 berjaya mencetuskan kesedaran untuk mengangkat kembali seni budaya Melayu khususnya dalam dunia kewartawanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata pertandingan yang julung kali diadakan itu membuktikan keupayaan pengamal media mengungkap isu semasa melalui keindahan bahasa ibunda sambil menonjolkan kreativiti masing-masing.
“Saya lihat sendiri bagaimana pantun-pantun yang dijual dan dibeli tadi bukan sahaja mencuit hati malah mengetengahkan isu-isu semasa dengan gaya tersendiri.
“Ia bukan sesuatu yang mudah kerana menyusun dan mengatur pantun memerlukan kemahiran serta penghayatan terhadap bahasa,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 di Wisma Bernama di sini.
Mengulas lanjut, Nur-ul Afida berkata penganjuran pesta itu bukan sekadar pertandingan biasa tetapi juga sebagai wadah untuk memperkasakan warisan budaya bangsa.
“Saya telah berbincang dengan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan menyuarakan harapan agar Pesta Pantun ini dapat diteruskan pada tahun hadapan sebagai edisi kedua sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), insya-Allah,” katanya.
Bertemakan 'Melayu Klasik Tradisional', pesta pantun itu diadakan sempena HAWANA 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini, dengan kemuncak sambutan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 14 Jun depan.
Seramai 32 peserta daripada lapan kumpulan berentap seawal pukul 9 pagi, terdiri daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Malaysia Gazette, Sinar Harian, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kumpulan Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima Berhad serta Bernama.
RTM berjaya meraih tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 beserta trofi, manakala wakil RTM, Nurul Amilin Idrus turut dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik yang membolehkannya meraih trofi dan wang tunai RM500.
Jabatan Pengisian Islam TV3 dan Astro Radio News pula melangkah ke pertandingan akhir bagi merebut gelaran juara namun pemenang hanya akan diumumkan pada 14 Jun ini.
Juara akan membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala naib juara RM2,000 serta kedua-duanya turut menerima piala dan sijil.