Petaling Jaya, 31 Mei – Polis menerima sebanyak 21 laporan berhubung dakwaan satu parti politik merancang menganjurkan program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di sini pada 21 Jun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan satu hantaran media sosial oleh pemuda parti tersebut yang mempromosi penganjuran program berkenaan.
Katanya, program itu dipercayai dirancang diadakan di lokasi yang masih belum dikenal pasti dalam daerah Petaling Jaya.
Beliau memaklumkan sebanyak 21 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang membantah penganjuran program itu.
Tegas beliau, program tersebut didapati melampaui sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.
Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Orang ramai dan mana-mana pihak diingatkan agar tidak menyertai program terbabit.
Polis akan terus memantau sebarang perkembangan dan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan ketenteraman awam serta pematuhan undang-undang.