
BUKIT BARU, 6 April – Sektor pelancongan domestik menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila orang ramai kini lebih memilih destinasi dalam negara.
- Konflik berterusan di negara Asia Barat menjejaskan pilihan pelancongan luar negara.
- Harga tiket penerbangan menjadi masalah, mendorong tumpuan kepada destinasi dalam negara.
- Kos pengangkutan boleh meningkat 20 hingga 30 peratus jika harga bahan api berubah, memberi tekanan kepada industri.
Ia susulan konflik berterusan yang melanda negara Asia Barat.
Pengerusi penganjur MATTA Fair Melaka 2026, Halimah Ahmad berkata pada masa sama destinasi di negara-negara Asia masih menjadi pilihan namun
sedikit menurun.
“Cuma sekarang ini masalah kita adalah harga tiket penerbangan. Untuk itu, kita memberi tumpuan lebih kepada lokasi dalam negara.
“Ia tidak melibatkan tiket penerbangan. Bagaimanapun, masih ada permintaan untuk negara Asia”, katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena MATTA Fair Melaka 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 April ini.
Tambahnya, kos pengangkutan berpotensi meningkat antara 20 hingga 30 peratus sekiranya berlaku perubahan harga bahan api atau faktor lain, sekali gus memberi tekanan kepada pemain industri pelancongan.