fb fb fb fb fb

SekPur buat laporan polis, dakwaan fitnah Albert Tei libatkan PM & Ketua Pesuruhjaya SPRM

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 6 Disember - Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) bawah naungan Persatuan Media Digital Malaysia (MEMO) hari ini membuat laporan polis susulan dakwaan fitnah oleh ahli perniagaan Albert Tei yang melibatkan Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Video yang tular di Facebook serta TikTok itu memaparkan dakwaan berkaitan prosedur operasi pegawai agensi penguatkuasaan, selain menyentuh nama beberapa pemimpin negara dalam konteks siasatan rasuah.

Pengerusi Biro Politik SekPur, Shahbudin Embun berkata, laporan dibuat bagi merujuk kewujudan dakwaan terbuka yang disebarkan secara meluas dalam talian tanpa sebarang maklumat sokongan yang mampu memberi gambaran tepat kepada orang ramai.

“Semua video yang kabur itu bukan bukti. Rakyat perlu memahami bahawa tuduhan besar memerlukan bukti yang kukuh. Klip video kabur daripada individu yang sendiri sedang berdepan pertuduhan tidak boleh dijadikan alasan untuk memfitnah institusi negara.

“Bagaimana dia boleh menggunakan media sosial untuk ‘membuktikan’ dakwaannya, sedangkan dia sendiri sedang didakwa? Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan drama politik yang dimainkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Tegas beliau, kandungan media sosial Albert Tei itu berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran maklumat jelik yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Sementara itu, Setiausaha Agung SekPur, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, laporan tersebut dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menilai kandungan berkenaan sama ada wujud unsur yang memerlukan tindakan lanjut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis perlu mengambil tindakan dengan memanggil individu tersebut untuk disiasat bagi menentukan sama ada tuduhan yang dibuat itu benar atau tidak.

“Tuduhan tanpa asas juga merupakan satu kesalahan dan sekiranya masyarakat mempercayainya, ia boleh tular serta mewujudkan persepsi negatif terhadap PM sekali gus menjejaskan imej negara,” katanya.

Tambah beliau, dakwaan yang menjejaskan reputasi Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga boleh diteliti di bawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan kerana berunsur fitnah serta merosakkan kredibiliti individu.

Sehubungan itu, sekretariat menuntut pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terperinci terhadap penyebaran video Albert Tei serta mengambil tindakan segera sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE