KUALA LUMPUR, 5 Mac- Sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah seluruh negara akan bermula pada 21 Mac 2022.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelajar sekolah menengah akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu mulai tarikh berkenaan.
Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelajar terbabit kemudian akan menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran, mulai 4 April.
Pelajar berkenaan termasuk murid berkeperluan khas (MBK), peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa setara.
Pelajar sekolah berasrama penuh pula akan memulakan sesi pembelajaran tanpa penggiliran mulai 4 April membabitkan Tingkatan 2 hingga Tingkatan 6, pra universiti, IBDP dan peperiksaan setara.
Pelajar Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama penuh boleh memilih samada untuk menjalani sesi PDPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan kediaman, sehingga KPM mengumumkan tarikh kemasukan ke asrama.
"Kita dapat lihat bahawa pengoperasian sekolah bagi penggal akan datang ini adalah lebih terbuka, hampir keseluruhan murid akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran" kata Dr. Radzi.
Kementerian Pendidikan menggalakkan murid memakai pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan baharu dibuka .
Namun, kelonggaran diberikan kepada murid yang tidak mempunyai pakaian yang sesuai dan mereka akan diberi kelonggaran hadir dengan pakaian sopan dan bersesuaian.
(Datuk Dr. Radzi menyampaikan penjelasan berhubung ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM untuk memberi perspektif lebih jelas menerusi laman Facebook miliknya)