fb fb fb fb fb

Laluan baharu VTL Malaysia-Thailand-Kemboja bermula 15 Mac

PUTRAJAYA, 5 Mac- Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) ke Thailand dan Kemboja akan mula beroperasi mulai 15 Mac.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha bersama ke arah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, laluan VTL baharu itu dijangka akan memulihkan semula jaringan ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Tambah beliau, menerusi inisiatif tersebut, pengembara yang telah divaksin sepenuhnya tidak perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

"Syarikat penerbangan yang ditetapkan dari negara terlibat dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok dan sehingga empat penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur- Phuket

Bagi Kemboja pula, syarikat penerbangan yang ditetapkan dari kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan setiap hari bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh," katanya.



Laluan baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tertakluk kepada persetujuan bersama antara negara berdasarkan permintaan pasaran.

Laluan VTL berkenaan akan dikendalikan oleh semua syarikat penerbangan yang ditetapkan di bawah inisiatif tersebut.

Prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat.

"Pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL ini," katanya lagi.

Kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan bergantung kepada situasi semasa.

Media Baharu