fb fb fb fb fb

SCEKL25 pacu AI dan inovasi serantau

Menteri Digital, Gobind Singh Deo / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai negara pertama di Asia Tenggara menjadi tuan rumah Smart City Expo World Congress (SCE) peringkat serantau menerusi Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25), yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 19 September ini.

Penganjuran julung kali itu dijangka meletakkan Malaysia sebagai peneraju inovasi bandar pintar, transformasi digital dan pembangunan mampan serantau.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited memacu agenda digital serantau dan sudah mula melaksanakan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

"DEFA dijangka membuka potensi ekonomi digital bernilai USD2 trilion menjelang 2030 menerusi pelaburan rentas sempadan, akses pasaran dan penyelarasan peraturan digital.

"Penganjuran SCEKL25 adalah sebahagian daripada agenda kepimpinan digital Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab inovasi bandar pintar dan pembangunan digital inklusif," katanya pada majlis pelancaran 100 Hari Menjelang SCEKL25, hari ini.

Bertemakan ‘Bandar AI: Membentuk Masa Depan Digital Kita’, ekspo itu dijangka menghimpunkan lebih 10,000 delegasi, 300 peserta pameran dan wakil dari lebih 20 negara.

SCEKL25 dianjurkan bersama oleh MDEC dan Digital Nasional Berhad (DNB) di bawah Kementerian Digital, dengan penglibatan pelabur, inovator teknologi, pemimpin global dan penggubal dasar.

Acara itu bakal menjadi platform utama bagi meneroka peranan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu dalam mencorakkan kehidupan bandar seluruh rantau ASEAN.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD