KUALA LUMPUR, 3 Januari- Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menegaskan kepentingan sistem Braille dalam memperkasa aksesibiliti maklumat serta memperjuangkan hak Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan, selari sambutan Hari Braille Sedunia, hari ini.
Selain itu, SBM menyeru kerajaan, sektor swasta dan masyarakat umum untuk meningkatkan usaha memastikan akses meluas terhadap maklumat dalam format Braille.
Pertubuhan tersebut juga menyeru agar kerajaan dapat memperkukuh sokongan terhadap penyelidikan dan pembangunan teknologi berkaitan Braille.
Di peringkat tempatan, SBM terus memainkan peranan penting dengan memperluaskan penggunaan Braille melalui program pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan bahan bacaan berformat Braille.
"Penggunaan teknologi seperti pencetak Braille, paparan Braille elektronik dan perisian pembaca skrin harus diperkasa untuk memastikan semua individu dapat menikmati akses kepada maklumat.
Walaupun Malaysia telah menunjukkan kemajuan melalui penyertaan dalam Perjanjian Marrakesh pada tahun 2022, masih banyak cabaran yang perlu ditangani," kata kenyataan itu.
Hari Braille Sedunia diadakan bagi menghormati pencipta sistem Braille, Louis Braille, yang berjaya membuka peluang kepada golongan bermasalah penglihatan untuk mengakses pendidikan, pekerjaan, dan maklumat.
SBM berharap sambutan berkenaan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sistem tulisan Braille sebagai alat transformasi sosial untuk OKU Penglihatan.
"Setiap individu harus diberi peluang menyumbang kepada pembangunan negara tanpa sebarang halangan," tambah kenyataan itu.