Satu daripada enam rakyat Kelantan hidap kencing manis – NHMS

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, 16 peratus daripada 1.9 juta penduduk Kelantan menghidap diabetes.

TANAH MERAH, 7 Februari – Satu daripada enam rakyat Kelantan dikesan menghidap penyakit kencing manis atau diabetes menerusi tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS)
2019 hingga 2023.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 300,000 atau 16 peratus penduduk Kelantan menghidap diabetes, namun hanya 30 peratus mendapat rawatan di hospital atau klinik.
  • Angka diabetes menurun tahun ini tetapi masih membimbangkan dan menjejaskan kualiti hidup pesakit, terutama mereka yang memerlukan dialisis.
  • Golongan umur 40 tahun ke atas paling ramai dijangkiti; penyebab utama termasuk faktor genetik, gaya hidup dan pola pemakanan.
  • Penyakit boleh dikawal dengan pengambilan ubat konsisten dan gaya hidup sihat; pemeriksaan awal dan rawatan disarankan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkatan, kira-kira 300,000 atau 16 peratus daripada 1.9 juta penduduk Kelantan menghidap diabetes, namun 30 peratus sahaja yang hadir mendapatkan rawatan ke hospital atau klinik.

Beliau berkata, walaupun tahun ini angka itu menurun, namun ia tetap membimbangkan.

Katanya, selain perlu menyediakan fasiliti rawatan termasuk dialisis, kualiti hidup pesakit yang menghidap diabetes juga akan terganggu terutamanya ketika perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Beliau berkata, paling ramai yang menghidap diabetes di Kelantan adalah golongan 40 tahun ke atas dan selain faktor genetik, diabetes juga disebabkan gaya hidup serta pola pemakanan.

Katanya, penyakit diabetes boleh dirawat asalkan pengambilan ubat dibuat secara konsisten dan menjalani gaya hidup sihat, namun jika dibiarkan, pesakit akan mengalami penyakit kronik yang lain.

Beliau berharap rakyat Kelantan dapat mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sekiranya mempunyai simptom menghidap sebarang penyakit segera melakukan pemeriksaan dan rawatan kesihatan.

Dalam perkembangan lain, Datuk Dr Mohd Azman berkata, JKNK sudah memulakan sesi taklimat pengendali makanan bagi peniaga yang mendapat lesen di tapak bazar Ramadan.

Beliau berkata, taklimat itu dikendalikan oleh Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan dan peniaga akan diberikan penerangan tentang kebersihan pengendalian makan.

Katanya, pada tahun lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 2,802 pemeriksaan terhadap peniaga di bazar-bazar Ramadan seluruh negeri Kelantan dan mendapati 95 peratus mendapat suntikan tifoid.

Ujarnya, sebanyak 88 peniaga diarahkan mengikuti kursus dan sebanyak 228 kompaun telah dikeluarkan di bawah akta makanan.

Beliau berharap untuk tahun ini tidak ada kompaun yang dikeluarkan dan peniaga disarankan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.