KUALA LUMPUR, 4 Mac - Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM) tahun 2023 bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) akan dikeluarkan pada 11 Mac ini dan boleh diperoleh dari sekolah masing-masing mulai 10 pagi.
Dalam satu kenyataan Kementerian Pendidikan hari ini memaklumkan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) tahun 2023 bagi MBPK telah selesai dilaksanakan pada 19 Januari lepas.
"Seramai 3,210 MBPK dari 725 sekolah di seluruh negara telah menamatkan persekolahan bagi sesi akademik 2023/2024 dan layak menerima SASM.
“KPM sentiasa komited untuk terus memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan terjamin untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut SASM adalah cerminan agenda pendidikan manusiawi KPM yang memastikan akses pendidikan terbaik untuk semua murid dan tiada siapa yang terpinggir.