fb fb fb fb fb

Sasar sifar denggi, kaedah baharu tangani pembiakan nyamuk aedes

(Foto Hiasan)

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi tekad memerangi penyakit itu, sekali gus memastikan negara mencapai tahap sifar denggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata selain menstruktur dan memperkuatkan semula jawatankuasa tersebut, kerajaan akan lebih proaktif dalam mengambil langkah pencegahan pembiakan nyamuk aedes dengan beberapa kaedah baharu.

"Negara kita mesti mencapai tahap sifar denggi, untuk itu kaedah menggunakan BioGel bagi memerangkap nyamuk aedes dan mematikannya telah dilakukan dan akan ditambah luas tanpa menambah peruntukan tetapi ada kaedah-kaedah kos efektif dilakukan.

"Begitu juga dengan melakukan satu kaedah untuk nyamuk wolbachia bagi melawan nyamuk aedes, ini merupakan satu kaedah baru yang lebih murah," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di Parlimen hari ini.

(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi)

Tambah Ahmad Zahid, jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan bagi membantu kekangan sumber Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menjalankan aktiviti pencegahan.

Setakat 25 Mac, lebih 26,000 kes denggi dilaporkan berbanding kira-kira 8,000 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan dilaporkan berpunca daripada perubahan cuaca, bencana banjir dan pertukaran serotaip virus denggi.

Media Baharu