JOHOR, 28 Mac- Polis memberkas seorang pekerja bengkel kereta bersama sejumlah 70 ketulan ganja mampat yang dirampas seberat 63.12 kilogram.
Ganja yang dianggarkan bernilai RM157,800 itu ditemui dalam satu serbuan di sebuah rumah di Yong Peng malam kelmarin.

(Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah / Foto Bernama)
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, suspek berusia 37 tahun dipercayai aktif kegiatan itu sejak awal bulan ini.
"Bekalan ganja yang ditemui semasa serbuan, dipercayai untuk kegunaan kira-kira 31,560 penagih," katanya.
Suspek menjadikan sebuah rumah dan kenderaan miliknya sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Hasil serbuan dan nilai rampasan keseluruhan termasuk sitaan kereta berjumlah, RM167,000.
Suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.