fb fb fb fb fb

Santuni MADANI & Jelajah ANMS perkukuh hubungan pemimpin dengan masyarakat

RTM Miri turut menjadi antara 21 rakan strategik Kementerian Kesihatan dalam menjayakan Karnival Santuni Madani & Jelajah ANMS

MIRI, 27 September - Program Santuni MADANI kini diperluas ke Kampung Tunku Abdul Rahman Lambir dengan konsep 'Satu Pemimpin, Satu Kampung' bagi memperkukuh hubungan masyarakat dengan pemimpin setempat.

Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pendekatan itu membolehkan isu-isu setempat seperti masalah banjir dikenal pasti dan terus disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan segera.

“Program ini berfungsi sebagai kaedah intervensi berfokus bagi meningkatkan potensi kampung serta memperkasa keupayaan masyarakat melalui pemantauan langsung oleh pemimpin setempat. Ia menekankan libat urus berterusan untuk mengenal pasti pelbagai isu sosioekonomi termasuk kemiskinan, keselamatan, penyalahgunaan dadah dan keciciran pendidikan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program tersebut di perkarangan Rumah Jarek, Kampung Tunku Abdul Rahman Lambir.

Program dua hari itu turut memperkenalkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menekankan perubahan gaya hidup rakyat daripada hanya merawat penyakit kepada menjaga kesejahteraan. Antara tarikan utama ialah aktiviti sihat seperti jalan 10,000 langkah, zumba, serta trak kesihatan bergerak 'Wellness on Wheels'.

Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan golongan B40 turut digalakkan hadir untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma, manakala penduduk setempat berpeluang membeli belah dengan harga berpatutan di Jualan Rahmah sepanjang karnival berlangsung.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan kit MyCHAMPION kepada Penghulu Randi Elon dan 10 tuai rumah sebagai simbolik pendaftaran mereka sebagai Ejen Kesihatan bagi kampung masing-masing.

Karnival berkenaan juga merupakan langkah strategik meningkatkan kesedaran serta amalan kesihatan kendiri dalam kalangan penduduk dewasa berumur 18 tahun ke atas, khususnya melalui saringan dan pendidikan kesihatan.

Tidak ketinggalan, RTM Miri turut menjadi antara 21 rakan strategik Kementerian Kesihatan dalam menjayakan karnival berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE