fb fb fb fb fb

Media rantau ASEAN harap turut serta dalam HAWANA

KUALA LUMPUR, 15 Mac - Penganjuran Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 akan diisi dengan pelbagai program dan wacana yang menyentuh pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh wartawan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, program etika kewartawanan dan isu berkaitan profesionalisma wartawan antara program satelit (sampingan) yang boleh dilaksana.

Penganjurannya HAWANA 2023 yang akan dihoskan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) juga diharapkan dapat disertai oleh wartawan dan agensi media dari rantau ASEAN dalam usaha mengukuhkan komuniti ekonomi rantau itu.

"Saya harap menjelang penganjuran HAWANA nanti kita akan dapat umumkan beberapa perkara yang pihak kerajaan ingin laksanakan dan kita faham pasca pandemik keadaan yang dihadapi bukan hanya oleh para wartawan tetapi organisasi media di Malaysia.

"Banyak cabaran yang dihadapi dan saya percaya menjelang HAWANA nanti kita akan dapat beri sedikit hala tuju kedepan bagi ekosistem media di Malaysia," katanya selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama ketua-ketua agensi media di sini, malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri KKD Teo Nie Ching.

Sambutan HAWANA pada tahun ini akan berlangsung dari 27 Mei hingga 29 Mei di Ipoh, Perak.

Media Baharu