fb fb fb fb fb

Sambutan Hari Kebangsaan, Fahmi ucap tahniah kepada RTM

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (tengah) / Foto RTM

PUTRAJAYA, 20 September – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan penghargaan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) atas kejayaan menjayakan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia baru-baru ini.

Fahmi menekankan, momentum kejayaan itu perlu diteruskan pada tahun-tahun akan datang, dengan memberikan idea-idea baharu kepada masyarakat.

"Tahniah saya ucapkan kepada pasukan RTM. Tiada sebarang isu besar yang timbul dan ini membuktikan profesionalisme serta keupayaan pasukan di RTM, yang berada dalam kalangan terbaik. Saya sangat berbangga dengan pasukan seperti RTM," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyatakan keyakinannya bahawa RTM akan terus memperkenalkan pelbagai inovasi bagi memberikan kepuasan kepada penonton.

"Setiap hari di RTM, kami sentiasa mencari cara-cara baharu untuk menambah nilai dan kreativiti. Saya rasa semangat yang ditunjukkan oleh rakan-rakan di RTM sangat membanggakan dan untuk sambutan akan datang, mungkin akan lebih hebat daripada yang kita lihat sebelum ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN