fb fb fb fb fb

Saliran air bermasalah punca banjir kilat di Arau

ARAU, 17 Oktober- Saliran air bermasalah akibat dilitupi semak samun dan tiada penyelenggaraan merupakan punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan di Arau sejak semalam.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan yang juga merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, tindakan segera akan digerakkan agensi terlibat agar permasalahan ini tidak mengganggu ketenteraman penduduk setempat apabila cuaca hujan lebat selain menyebabkan kerosakan harta benda.

Beliau yang turut melakukan tinjauan dan pemantauan di kawasan terjejas banjir turut mendapati, longgokan sampah sarap juga menjadi punca berlakunya banjir kilat.

"Banjir kilat yang berlaku ini berpunca daripada masalah saliran air yang tidak diselenggara selain terdapat longgokan sampah sarap di longkang. Saya akan maklumkan perkara berkenaan kepada pihak yang terlibat.

Sebenarnya tidak ada banjir pun memandangkan kawasan lain tidak terjejas. Paras air sungai juga dalam keadaan rendah, hanya kerana saliran longkang itu sahaja yang perlu kita uruskan," kata Shahidan kepada RTM di Arau.


(Menteri Wilayah Persekutuan yang juga merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan
Kassim berkata demikian ketika ditemui pemberita RTM di Arau)

Banjir kilat yang berlaku menjejaskan beberapa kawasan kampung iaitu Kampung Sentua, Kampung Alor Setar dan sekitar kawasan Pauh.

Media Baharu