fb fb fb fb fb

Saifuddin adakan lawatan rasmi lapan hari ke Sweden, Denmark dan Norway

PUTRAJAYA, 29 Mei- Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengadakan lawatan rasmi ke Sweden, Denmark dan Norway dari 29 Mei hingga 5 Jun.

Lawatan ke negara-negara Scandinavia itu bakal memberi peluang kepada beliau untuk bertemu rakan sejawatannya dan membincangkan langkah-langkah ke hadapan dalam mengukuhkan pelbagai kerjasama yang telah lama terjalin antara Malaysia dan negara-negara berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, lawatan itu turut memberi ruang kepada Malaysia untuk berbincang dan bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama pasca COVID-19, kerjasama ASEAN serta serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Semasa lawatan ke Sweden dari 29 hingga 31 Mei, Menteri Luar dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Sweden, Ann Linde, Timbalan Speaker I Parlimen Sweden, Åsa Lindestam; dan Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Sweden.

Beliau juga akan menyertai Perbincangan Meja Bulat di Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) serta dijadual bertemu dengan agensi berkaitan kerajaan.

Di Denmark pada 1 dan 2 Jun, Saifuddin dijadual bertemu Menteri Luar Denmark, Jeppe Kofod, Setiausaha Agung Majlis Nordic, Kristina Háfoss, serta sesi pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Persatuan Malaysia Denmark.

(Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah)

Saifuddin juga dijangka berucap di Asia House, Copenhagen, sebuah pertubuhan terkenal yang sering tuan rumah kepada ramai personaliti dari seluruh dunia.

Semasa lawatannya ke Norway dari 3 hingga 5 Jun, beliau akan bertemu rakan sejawatan dari Norway, Anniken Huitfeldt, serta mengadakan perbincangan bersama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Luar dan Pertahanan Parlimen Norway, Delegasi ke Perkongsian Parlimen Asia-Eropah selain dijadual mengadakan pertemuan Pengarah Institut Nobel Norway, Olav Njølstad.

Selain itu, ketika di Stockholm dan Oslo, Saifuddin juga akan menjadi hos majlis resepsi Keluarga Malaysia.

Media Baharu