ALOR SETAR, 13 Ogos - Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) mengesan 112 kebocoran paip di jajaran paip sepanjang 46.9 kilometer (KM) di sekitar Jalan Kuala Kedah.
Ia hasil kerja-kerja mengesan kebocoran melalui kaedah Active Leakage Control (ALC) yang dilaksanakan secara dalaman bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan air dan menurunkan kadar air tidak berhasil (Non Revenue Water-NRW).
SADA berkata, kerja-kerja mengesan kebocoran melalui kaedah ALC dilaksanakan sejak 1 Ogos lalu hingga semalam.
"Pasukan penyelenggaraan SADA akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kebocoran tersebut. Mengenai perihal NRW, kebocoran paip tersebut dikategorikan sebagai Kehilangan Fizikal.
"Ia lazimnya berlaku berpunca daripada usia paip itu sendiri dan juga boleh terjadi akibat musim kemarau yang panjang, " kata SADA dalam satu kenyataan.
SADA terus komited dalam membekalkan air terawat yang mencukupi dan berkualiti kepada para pengguna.
Dalam pada itu, SADA berharap misi syarikat itu untuk mengurangkan kadar peratusan NRW dan meningkatkan rizab margin air di Negeri Kedah dapat dicapai melalui inisiatif seperti itu.