fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan jangka turut selaras kenaikan gaji

Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun

SEREMBAN, 13 Ogos - Kerajaan Negeri Sembilan dijangka turut menyelaras gaji penjawat awam di negeri itu mengikut kenaikan gaji penjawat awam di peringkat persekutuan.

Ini selaras keputusan kerajaan persekutuan berhubung pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu bermula Disember depan.

Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pihaknya menunggu perincian mengenai kenaikan ditetapkan kerajaan persekutuan yang akan dimaklumkan pada 16 Ogos ini, sebelum mengkaji tindakan yang akan diambil berhubung pelarasan gaji penjawat awam di negeri itu.

"Kita melihat bahawa apa juga keputusan di peringkat persekutuan, kerajaan negeri akan ikut sepenuhnya dan kita rasa ini akan memberikan penambahan dalam pembayaran emolumen kepada penjawat awam yang pastinya kita perlu melihat konsultasi bajet, antara yang kita lihat adalah bagaimana untuk kita menyerap apa jua yang berlaku apabila emolumen kepada penjawat awam ini meningkat," kata Aminuddin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Cemerlang Siswazah Kelas Pertama Negeri Sembilan, di sini.

Tambahnya, pelarasan gaji penjawat awam itu juga turut dibincangkan pada majlis Konsultasi Belanjawan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan (Siri 7) Tahun 2025, di Putrajaya, baru-baru ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kadar baharu kenaikan gaji bagi penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 yang dijadualkan pada Oktober nanti.

Kali terakhir kadar baharu kenaikan gaji penjawat awam diumumkan adalah sekitar 13 peratus pada 2013.

TETITIA YUSOFF