(Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor)
PUTATAN, 29 Mac- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yakin kerajaan persekutuan akan mengambil tindakan serius dan langkah konkrit bagi menyelesaikan isu tuntutan terhadap Sabah termasuk tuntutan yang dibuat oleh kumpulan Sulu.
Ini kerana rakyat dan kerajaan negeri ini tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan yang dibuat kumpulan yang mendakwa diri mereka waris Kesultanan Sulu.
Beliau berkata, rakyat Sabah sendiri telah sekian lama memilih untuk bersama membentuk sebuah Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), justeru sebarang tuntutan pihak luar terhadap Negeri di Bawah Bayu itu tidak akan diktiraf sama sekali oleh rakyat negeri itu.
“Memang kita yakin (dengan Kerajaan Persekutuan) kerana kita sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan (kumpulan mendakwa waris) Sultan Sulu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ibu tunggal dan penduduk kurang bernasib baik di Masjid Jamek, Putatan di Kota Kinabalu, malam tadi.
(Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ibu tunggal dan
penduduk kurang bernasib baikdi Masjid Jamek, Putatan di Kota Kinabalu)
Kira-kira 400 penduduk menerima sumbangan pada majlis itu.
Hadir sama,Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.
Kumpulan yang mendakwa waris Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata perlaksanaan langkah untuk menyelesaikan beberapa perkara yang belum dilaksana dalam MA63 untuk Sabah dan Sarawak akan mengukuhkan institusi negara Malaysia itu sendiri.
Beliau yakin dan percaya pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada isu atau beberapa perkara yang belum dilaksana sekali gus diselesaikan oleh kerajaan persekutuan.