fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis titip ucapan takziah kepada mangsa ribut

KANGAR, 30 Mac - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menitipkan ucapan takziah kepada semua mangsa ribut yang terlibat di sekitar negeri Perlis petang semalam.

Baginda bertitah agar kesemua mangsa dapat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan dokumen dan barang berharga dalam keadaan selamat.

Titah baginda, semua mangsa yang terlibat dinasihatkan agar dapat menyalurkan maklumat mengenai keadaan yang dihadapi kepada para pemimpin masyarakat supaya dapat mempercepatkan lagi penyaluran bantuan oleh agensi berkaitan.

(Sebanyak 149 buah rumah yang telah dilaporkan terlibat dengan kejadian ribut yang melanda 
seluruh negeri Perlis)

Sehingga pukul 8.50 pagi ini, sebanyak 149 buah rumah yang telah dilaporkan terlibat dengan kejadian ribut yang melanda seluruh negeri Perlis.

Berdasarkan penyelarasan yang telah dilaksanakan antara pihak MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, tindakan lawatan bagi mengenal pasti segala keperluan bantuan dan kaedah penyaluran sumbangan telah digerakkan bermula dari semalam.

Buat masa ini, pihak MAIPs dan agensi-agensi berkaitan akan memberikan penumpuan kepada isu kediaman yang dihadapi oleh mangsa, manakala para peniaga yang terlibat disyorkan menyalurkan maklumat melalui persatuan masing-masing.

Media Baharu